Sabtu, 20 November 2010

Isipadu Cecair




1.0 Pengenalan

Pengukuran memainkan satu peranan yang penting di dalam kehidupan harian kita. Ia adalah perkara yang biasa dan kemahiran Matematik yang praktikal yang digunakan di dalam Sains dalam kehidupan harian. Oleh itu, pengukuran adalah satu topik pembelajaran yang paling menarik dan berguna di dalam kurikulum Matematik di sekolah.

Dengan itu, para pelajar perlu mempelajari konsep dan proses yang berkaitan dengan pengukuran melalui penyertaan yang aktif yang melibatkan pelbagai situasi yang praktikal, seperti pengukuran yang melibatkan panjang, berat dan isipadu cecair.

Pembaris untuk mengukur panjang
Unit panjang: centimeter (cm) dan meter (m)
 

Penimbang untuk mengukur berat
Unit berat: gram (g) dan kilogram (kg)





Silinder penyukat untuk mengukur isipadu cecair
Unit isipadu: mililiter (ml) dan liter ()



2.0 Video Pengukuran Isipadu Cecair

Video 1: Membanding Bezakan Isipadu (Comparing Volume)




Video 2: Menyukat Isipadu Cecair Menggunakan Pelbagai Bekas Kaca
(Measuring Volume With Various Glassware)

 

3.0 Aktiviti I : Membandingkan isipadu dua cecair melalui perbandingan secara langsung


3.1 Bahan Bantu Mengajar



3 tin kosong berlabel A, B dan C, di mana tin B dan C adalah sama besar.
3 bikar kosong berlabel A, B dan C, di mana kesemuanya adalah sama besar.


3.2 Aktiviti

3.2.1 Pemulihan

Aktiviti ini dijalankan di makmal.

1. Tunjukkan bahan bantu mengajar yang telah disediakan.

    Soal jawab:
  • Cuba teka, tin mana yang dapat mengisi paling banyak air?
  • Tin mana yang dapat mengisi air sama banyak?

2. Minta murid membuat tekaan sebelum memulakan aktiviti ini.        
            
3. Kemudian minta murid mengisi air sehingga penuh ke dalam ketiga-tiga tin tersebut.

4. Minta murid menuangkan air:

  • daripada tin A ke dalam bikar A,
  • daripada tin B ke dalam bikar B, dan
  • daripada tin C ke dalam bikar C.
5. Seterusnya minta murid menyusun ketiga-tiga tin dan bikar tadi sebelah-menyebelah.

    Soal jawab:

  • Lihat pada saiz tin dan isipadu air di dalam ketiga-tiga bikar ini. Apa yang dapat kamu lihat? (Minta murid memperihalkan isipadu air berdasarkan pemerhatian mereka)
6. Bincang dan bandingkan dapatan dari aktiviti di atas iaitu:

  • Tin A mengandungi lebih air daripada tin B dan tin C kerana ia lebih besar.
  • Tin B dan tin C mengandungi kurang air daripada tin A kerana ia lebih kecil.
  • Tin B dan tin C mengandungi sama banyak air kerana ia sama besar.
7. Bimbing murid untuk melihat bahawa bekas yang lebih besar dapat mengisi lebih banyak air.

3.2.2 Pengayaan

Aktiviti ini dijalankan di luar bilik darjah.

1. Sebelum aktiviti ini dijalankan, sediakan atau minta murid membawa bekas kosong (pilihan bekas adalah bebas).

2. Bentukkan kumpulan (tiga orang). Minta murid bersedia dengan bekas masing-masing.

3. Secara berkumpulan, minta murid mengisi air sehingga penuh ke dalam salah satu bekas.

4. Tuangkan air dari bekas tersebut ke dalam bekas yang lain.

    Soal jawab:

  • Adakah air itu melimpah?
  • Jika ya, mengapa air itu melimpah?
  • Jika tidak, adakah ruang lagi untuk mengisi air?
  • Mengapa ada ruang?
  • Bekas mana boleh diisi paling banyak air?
  • Bekas mana boleh diisi paling sedikit air?
  • Bekas mana boleh diisi sama banyak air?
5. Minta murid membuat tekaan terlebih dahulu sebelum menjalankan aktiviti bagi mencari jawapannya.

6. Bincang dan bandingkan dapatan murid.

3.3 Lembaran Kerja







4.0 Aktiviti II : Menyukat isipadu cecair menggunakan unit piawai 'liter'


4.1 Bahan Bantu Mengajar



Bekas-bekas berisi air


Penyediaan Stesen

4.2 Aktiviti

4.2.1 Pemulihan

Aktiviti ini dijalankan di luar bilik darjah.

1. Bentukkan kumpulan (tiga orang).

2.Tunjukkan tiga bekas berbeza yang berisi air.

   Soal jawab:

  • Bolehkah kamu teka, dua bekas yang mana berisi air yang sama banyak? (Minta murid membuat tekaan)
  • Bagaimana cara untuk mencari jawapannya? (Minta murid membuat saranan)
3. Tunjukkan bikar kosong dan tuliskan unitnya iaitu 'liter' pada papan tulis. Terangkan bahawa cecair disukat dengan tepat dalam unit 'liter'.

4. Seterusnya sukat air daripada ketiga-tiga bekas tadi dengan menggunakan bikar tersebut.

   Soal jawab:

  • Lihat pada isipadu air di dalam ketiga-tiga bikar ini. Apa yang dapat kamu lihat? (Minta murid memperihalkan isipadu air berdasarkan pemerhatian mereka)
  • Dua bekas yang mana berisi air sama banyak?
  • Bagaimana kamu tahu? (Paras air di dalam dua bikar adalah sama)
  • Bekas mana yang berisi lebih air?
  • Bagaimana kamu tahu? (Paras air di dalam bikar terakhir adalah lebih tinggi)
5. Seterusnya tunjukkan air kotak (1 liter), air botol (1 liter) dan air mineral (5 liter). Nyatakan bahawa isipadu air dalam kotak atau botol yang dijual selalunya dituliskan pada labelnya.

6. Tunjukkan kepada murid bacaan yang tertera pada air kotak/botol/mineral tersebut. Minta mereka menyebut dan mencatatkan bacaan dalam 'liter' dan simbolnya 'ℓ'.

7. Sediakan stesen bagi setiap kumpulan. Di setiap stesen, sediakan sebaldi air, cawan plastik dan bikar.

8. Aktiviti bermula apabila wisel ditiup. Sebutkan isipadu air yang perlu disukat dan kumpulan yang paling pantas menyukat isipadu air sebanyak itu dikira pemenang dan diberikan satu markah.

9. Mereka perlu mengosongkan bikar tersebut sebelum menyukat isipadu air yang disebutkan seterusnya.

4.2.2 Pengayaan

Aktiviti ini dijalankan di luar bilik darjah.

1. Bentukkan kumpulan (tiga orang).

2. Sediakan beberapa stesen, bergantung kepada jumlah kumpulan. Di setiap stesen, sediakan sebaldi air, bekas kosong, corong air dan bikar seperti lampiran ’Penyediaan Stesen’.

3. Edarkan lembaran aktiviti pengayaan dan pensel kepada setiap kumpulan. (Rujuk kepada bahan bantu mengajar, 'Penyediaan Stesen')

4.Kumpulan 1 akan bermula di stesen A, kumpulan 2 akan bermula di stesen B, dan seterusnya.

5. Di setiap stesen, murid perlu mengisi sambil membilang jumlah isipadu air (dalam liter) yang diperlukan untuk memenuhkan setiap bekas tadi. Mereka perlu mencatatkan dapatan mereka pada jadual di lembaran aktiviti tersebut.

6. Mereka perlu mengosongkan bekas tersebut sebelum bergerak ke stesen yang berikutnya.

7. Teruskan aktiviti hingga kesemua stesen telah selesai.

8.Seterusnya mereka perlu menjawab soalan pada lembaran aktiviti tersebut berdasarkan dapatan tadi.

9. Bincang dan bandingkan dapatan murid.



4.3 Lembaran Kerja










5.0 Penutup



Pelbagai aktiviti boleh digunakan bagi pengajaran menyukat 'Isipadu Cecair'. Kesemuanya aktiviti yang dirancang perlu bersesuaian dengan tahap murid kita. Aktiviti-aktiviti pemulihan dan pengayaan yang dirancang di atas adalah untuk perkongsian bersama dan masih lagi boleh diubahsuai mengikut tahap murid masing-masing.

Namun, perkara yang paling penting dan perlu diingati oleh semua guru ialah semua aktiviti yang dirancang perlu seronok dan menarik agar boleh mendapatkan perhatian murid-murid semasa proses pengajaran dan pembelajaran. Jika tidak, murid-murid akan hilang minat dan tumpuan terhadap apa yang sedang kita cuba sampaikan.

Di samping itu, penting juga bagi murid-murid berupaya melakukan aktiviti berkumpulan supaya mereka boleh mendapatkan pengalaman "hands-on" dan bukan hanya guru mereka sahaja yang bercakap dan murid mendengar. Di sini tidak ada proses pembelajaran yang kukuh dapat berlaku kerana murid tidak dapat memberi dan mengongsikan pendapat mereka berdasarkan pengetahuan sedia ada mereka.

Akhir sekali, kita sebagai guru perlulah sentiasa peka terhadap kemampuan murid-murid kita agar segala aktiviti yang dirancang dapat memperolehi dapatan yang positif dan membina, dan membolehkan objektif pembelajaran kita tercapai.


Sekian, terima kasih.